Ahad, 8 Ogos 2010

BICARA SEPI PEWARIS KRAF

*Lirikan si pengukir,
mengintai lenggok golek perempuan melayu
yang sudah berubah
dinoda budaya-budaya barat untuk melompat
lupa pada sopan adab
kesian..
berurat dahinya...risau,
tak pe..akan diasah pisau ukirnya

*Lentik si penganyam,
halus jari jemarinya
yang kian galak menganyam daun mengkuang
tanpa bicara...
matanya silau memerhatikan karpet merah
meraikan pejuang melayu terbilang
oh!
tersentak hayalan ke hollywood dan bollywood

*Ketukan si penenun,
tekun mengira benang-benang sutera
dicorak penuh makna istana
tapi...
di hati masih berkenan kain ela dari perancis
ahh!........
ketukan makin jelas, makin laju...

*Lakaran si pencanting
yang lilin panas berasapnya menjadi bunga-bunga indah
menyekat warna-warna hati menjadi pelangi
senyum melirik
tengok di tv, PM berbatik 1 Malaysia
dikeliling peraga-peraganya
eeeee..
gemersik bunyi mata canting
menari-nari di kain sutera china

*berjentik si pandai besi
mengusap luk-luk keris adunan 7 logam
disarung dengan kemuning emas
walau tiada kemenyam untuk diasapkan...
hatinya gundah
melihat lagak hunusan pejuang yang tiada erti
ahhh...
james bond lagi terer

*Lembut si pembentuk labu air
diuli tak pakai tangan
adunan tanah liat belakang rumah,
tekaknya haus..
masih merenung kopi o di bekas plastik
sambil girang melontar dan terjatuh
terteguk ail liur...

*eksportkan saja...
sakat si pengukir perak
si pencucuk manik menjuih songsang
teringatnya buatan China merata di Mydin
berduyung pelayan-pelayan muda
melerik senyum dalam benak
China eksport kat kita! laungnya

*semua bisu seketika
terasa angin dingin berhembus
pusingan kiraan berlegar laju di kepala
menghitung borang-borang aneh
yang mementingkan chop YB.....
semua bisu lagi seketika,

*lalu,
bisik-bisik halus bersuara..
rintahan kamu masih belum pilu
mohon kamu masih belum lengkap
igauan kamu masih belum nyata,
walau onak sudah kamu ranjau bermusim-musim
walau leka menanti jelmaan pari-pari
walau silauan daun-daun emas gugur
tiada petah kamu menjadi dungu
kamu mandikan puteri-puteri dengan limau kasturi
supaya dapat disanggul
dan, terus sikatkan rambutnya
agar ia rapi menawan.

wanadnanwanabdullah
oneartist artgallery
22/05/10.1.27am
PENGKRAF PAHANG

Ahad, 2 Mei 2010

PELAN INDUK PENGKRAF PAHANG

PELAN BAGI MENCAPAI OBJEKTIF DAN TUJUAN PERSATUAN PENGUSAHA KRAF NEGERI PAHANG.

Di dalam usaha Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang bagi mencapai halatujunya sebagai sebuah Negeri yang maju dan terkehadapan di dalam Industri Kraf Negara, beberapa langkah telah dikenalpasti dan dirangka oleh Persatuan ini. Langkah-langkah yang perlu diambil perhatian yang wajar dan perlu dilaksanakan bagi mencapai objektif dan tujuan Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang adalah seperti berikut :

1. Memperbaiki dan Memajukan Usahawan Kraf Di Seluruh Negeri Pahang.

Bagi mencapai tujuan ini, Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang telah mengambil inisiatif dan bancian secara terus terhadap para Pengusaha Kraf yang terlibat di dalam usaha untuk memajukan lagi operasi dan pengurusan, produktiviti dan kualiti, pencarian tenaga mahir/separuh mahir, tahap pembungkusan dan pemasaran/promosi yang masih lagi di peringkat tradisional dan kurang komersial. Isu yang paling lantang yang disuarakan oleh para Usahawan Kraf terhadap perkara ini adalah kepada peranan Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Pahang yang menetapkan dasar yang ketat dan terpilih di dalam memperbaiki dan membantu para Pengusaha Kraf di Negeri Pahang bagi maju kehadapan.

Langkah tindakan :

(i) Bagi mengatasi masalah ini, Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan mewujudkan satu biro yang dinamakan Biro Pembangunan Pengusaha bagi menyemak setiap permohonan Pengusaha dan mengadakan perjumpaan dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Jabatan yang terlibat di dalam mencari jalan yang terbaik bagi mengatasi beberapa isu yang dibangkitkan.

(ii) Sejumlah RM 5,600.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang bagi mengadakan lawatan di setiap bengkel/kilang ahli-ahli untuk mengenalpasti status dan merangka keperluan pembangunan yang dikehendaki.


2. Mengadakan Perhubungan Diantara Kerajaan Negeri dan Pusat Dengan Ahli-Ahli Persatuan.

Harapan Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang adalah kepada menjalinkan perhubungan antara Persatuan dengan Kerajaan Negeri dan Pusat melalui semua Jabatan dan Badan Berkanun di peringkat Negeri dan Persekutuan. Begitu juga dengan jalinan hubungan yang baik antara Persatuan dengan ahli-ahli swasta di Negeri Pahang.

Dengan kemahiran, pengalaman dan kepakaran Ahli-ahli di dalam Persatuan ini di dalam bidang kraf ini,adalah menjadi hasrat Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang untuk memberikan maklumat dan kerjasama yang tepat berkenaan peranan Persatuan ini kepada Pembangunan Negeri Pahang terutama berkaitan dengan pelancongan, kesenian dan warisan. Ini juga secara langsungnya dapat memberikan kesedaran dari segi maklumat yang betul kepada semua pemimpin dan masyarakat berkenaan Industri Kraf di Negeri Pahang.

Langkah tindakan :
(i) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan mewujudkan satu biro iaitu Biro Penerangan dan Maklumat bagi menyediakan penerangan dan meklumat yang tepat berkenaan kraf kepada umum.
(ii) Pengahantaran surat rasmi pengenalan dan mengadakan perjumpaan dengan semua Ketua Jabatan dan Badan Berkanun di peringkat Negeri dan Pusat yang berkaitan.
(iii) Penghantaran surat rasmi pengenalan dan mengadakan perjumpaan dengan semua Ketua Ahli-Ahli Swasta Negeri Pahang.
(iv) Mengusulkan cadangan-cadangan yang berkaitan dengan pembangunan kraf di Negeri Pahang.

Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, sejumlah RM 5,000.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang bagi menyelaras sesi perjumpaan dengan semua yang berkaitan di seluruh Daerah.

3. Mengumpul dan Menyusun Statistik (Perangkaan) Perniagaan Yang Berkaitan Kraf.

Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang telah merangka beberapa bentuk tindakan bagi mengumpul dan mencari seluruh Pengusaha-pengusaha kraf di seluruh Negeri Pahang, termasuk juga dengan Pengusaha kraf di kalangan Orang Asli. Persatuan telah mensasarkan sejumlah 200 orang Pengusaha kraf di seluruh Negeri Pahang akan didaftarkan menjadi Ahli Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang pada akhir 2010 ini dan merekodkan jenis-jenis kraf yang dikeluarkan oleh keseluruhan Pengusaha kraf ini.

Langkah tindakan :

(i) Kerjasama dan perbincangan dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang bagi mendapatkan data Pengusaha Kraf seluruh Negeri Pahang.
(ii) Mengadakan lawatan dan pencarian pengusaha-pengusaha kraf di seluruh Negeri Pahang.
(iii) Kerjasama dan perbincangan dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang bagi mendapatkan meklumat dan perkembangan pembuatan kraf di kalangan Orang Asli.


Bagi melaksanakan objektif ini, sejumlah RM 10,000.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang bagi menyelaras dan mengadakan lawatan dan pencarian seluruh Pengusaha kraf di seluruh Negeri Pahang.

4. Mengadakan Acara/Program Perniagaan dan Pekerjaan Kebajikan Untuk Ahli-Ahli.

Bertujuan mempromosi Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang kepada seluruh masyarakat dan pemimpin di seluruh Negeri Pahang dan juga Malaysia, Persatuan telah merangka beberapa pendekatan yang terbaik di dalam menyusun beberapa program dan acara untuk faedah ahli-ahli, masyarakat dan juga kepa Negeri Pahang.

5. Memberi bantuan kepada ahli-ahli dalam masa mereka menghadapi kesusahan dan mengalami apa-apa kejadian yang menyebabkan mereka menempuh kesusahan dalam perniagaan mereka.

Bagi mencapai tujuan ini, Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan berusaha untuk membantu ahli-ahli yang menghadapi musibah seperti masalah tentang tempat beroperasi (kebakaran/bencana alam/lesen/permit/perjanjian sewa tapak), berkaitan tenaga kerja dan kemalangan ahli yang mengakibatkan kecederaan dan kecacatan yang difikirkan oleh Persatuan bahawa masalah tersebut akan menyebabkan ahli yang terlibat menempuh kesusahan dalam perniagaan.

Langkah tindakan :

(i) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan berbincang dengan syarikat insuran yang berkaitan bagi mendapatkan satu bentuk skim caruman (simpanan dan insuran) secara berkelompok untuk semua ahli-ahli Persatuan di dalam bagi memastikan perkara ini dapat diambil tindakan secara professional. Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, sejumlah RM 50,000.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang sebagai wang tabungan di Syarikat Insuran.
(ii) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan bekerjasama dengan Perkeso untuk pemberitahuan dan pendaftaran pekerja-pekerja tetap di kalangan ahli-ahli persatuan.
(iii) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan menyediakan bantuan berbentuk sumbangan kecemasan bagi meringankan beban sementara ahli tersebut dan perkara ini akan dipanjangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa untuk tindakan selanjutnya. Sejumlah RM 25,000.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang untuk diisi ke dalam Tabung Kecemasan Ahli.

6. Mengumpul Wang Simpanan untuk digunakan sebagai bantuan bimbingan kepada Ahli-Ahli dan wang tersebut tidak boleh dijadikan modal perniagaan.

Bagi untuk membimbing ahli-ahli Persatuan untuk mencapai tahap persahaan dan perniagaan secara industri dan menggunapakai kaedah pengurusan yang profesional, Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan berusaha mengumpul dan mendapatkan wang tabungan yang mencukupi (tempoh 6 bulan hingga 1 tahun untuk kos yang akan ditanggung) bagi menyediakan kemudahan bantuan dan bimbingan kepada semua ahli-ahli persatuan.

Hasrat Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang adalah bagi menjadikan semua ahli-ahli persatuan dapat kehadapan dan melangkau sasaran pasaran yang lebih luas di dalam mengusahakan industri kraf masing-masing.

Langkah tindakan :
(i) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan mengadakan perjumpaan dan forum dengan semua ahli di dalam mengenal pasti keperluan bantuan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh setiap ahli.
(ii) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan melantik satu biro yang dinamakan Biro Bantuan dan Bimbingan yang akan menyelaras setiap permohonan keperluan bantuan, sebelum ia dapat diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa.
Bagi mencapai objektif ini, sejumlah RM 100,000.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang sebagai wang simpanan untuk bantuan dan bimbingan kepada pengusaha-pengusaha kraf yang layak.

7. Memberi bantuan mendapatkan pinjaman perniagaan kepada ahli-ahli daripada kerajaan atau badan-badan kewangan yang diiktiraf oleh kerajaan.

Di dalam perkara ini, Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan mengambil langkah yang terbaik bagi mengadakan hubungan yang rapat dengan semua badan-badan kewangan yang diiktiraf oleh kerajaan. Langkah ini adalah bagi mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan keperluan dan bentuk geran atau pinjaman yang disediakan untuk pembiayaan perniagaan ahli-ahli.

Langkah tindakan :

(i) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan berusaha bagi membantu mendapatkan permohonan kemudahan pinjaman secara berkelompok atau pun berkumpulan dengan badan-badan kewangan yang diiktiraf oleh kerajaan.
(ii) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan membantu di dalam memberikan khidmat nasihat dan semakan dokumen bagi mempastikan setiap permohonan ahli mempunyai cukup syarat-syarat yang diperlukan oleh kerajaan dan juga badan-badan kewangan yang dimohon.

Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, sejumlah RM 5,000.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang bagi menyelaras permohonan ahli-ahli.

8. Mengadakan kursus dan seminar perniagaan yang berhubung dengan kraf untuk ahli-ahli.

Adalah diketahui bahawa kebanyakan pengusaha-pengusaha Kraf di Negeri Pahang ini dari kalangan peringkat umur 50 tahun ke atas dan mempunyai tahap ilmu pengetahuan yang rendah. Dengan ciri-ciri yang ada ini, perusahaan dan perniagaan mereka kurang maju dan sentiasa di tahap yang sama. Walaubagaimanapun, pengusaha-pengusaha tersebut sentiasa berusaha dan masih lagi mengusahakan penghasilan kraf walaupun secara tradisional dan lama.

Hasrat Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang agar aktiviti yang akan dilaksanakan, dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan cita-cita setiap Pengusaha Kraf untuk menjadi lebih maju, berjaya dan berdayasaing.

Langkah tindakan :
(i) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan bekerjasama dengan pelbagai Agensi seperti MARA, Kolej/IPTA/IPTS, Badan Kerajaan dan bukan kerajaan di dalam menganjurkan pelbagai bentuk kursus dan seminar pembangunan perniagaan kepada Ahli-ahli. Sejumlah RM 50,000.00 di perlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang bagi digunakan untuk menyelaras dan mengadakan kursus dan seminar bagi pembangunan perniagaan Ahli-ahli.
(iii) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan menganjurkan lawatan sambil belajar bersama Ahli-ahli, di lokasi yang bertaraf sebagai pusat industri Kraf, yang terdapat di dalam negara. Langkah ini adalah bertujuan bagi memberikan pendedahan bagi mempelajari kaedah dan konsep yang diperkenalkan dan dimajukan pada setiap lokasi yang dilawati.Bagi melaksanakan program ini, sejumlah RM 30,000.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang di dalam membiayai dan menyelaras program yang akan dianjurkan.

9. Mengawal jenis-jenis dan mutu pembuatan kraf

Hasil keluaran Kraf di Negeri Pahang ini mempunyai nilai, keaslian dan kualiti yang hampir sama dengan negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.produk kraf buatan Malaysia adalah meliputi pelbagai bentuk bahan mentah dari tempatan atau Negara luar dan proses pembuatan (sepenuhnya hasil tempatan). Bagi mengawal jenis dan mutu pembuatan kraf di malaysia, terutamanya di negeri Pahang,beberapa tindakan yang perlu di ambil secara serius di antara Persatuan Pengusaha kraf Negeri Pahang dan juga Perbadanan Kemajuan kraf Malaysia Cawangan Negari Pahang ialah untuk bersama sama memantau kebanjiran produk-produk luar dari Indonesia, Thailand dan China kepasaran Negara kita melalui agen ataupun Pengusaha kraf tempatan sendiri.

Langkah tindakan :
(i) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan mengkaji beberapa langkah yang terbaik seperti mengadakan bentuk usahasama melalui kaedah perpindahan kepakaran, bahan dan teknologi diantara Negara seperti Indonesia, Thailand dan china. Melalui langkah ini kawalan dari segi jenis dan mutu pembuatan kraf di Negeri Pahang akan dapat diselaraskan. Bagi mencapai tujuan ini, sejumlah RM 250,000.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha kraf Negeri pahang bagi menyelaras dan mengadakan bentuk usahasama ini.

(ii) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan mengenal pasti jentera, peralatan dan mesin-mesin yang terkini yang dapat menambahkan lagi mutu pembuatan dan penghasilan secara komersil. Permohonan dan kerjasama dengan SIRIM yang memperuntukan subsidi sejumlah 90% daripada nilai mesin dan alatan akan diadakan. Bagi mencapai objektif ini, Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang memerlukan sejumlah RM 100,000.00 untuk membiayai 10% nilai yang dikehendaki bagi mendapatkan mesin dan alatan yang berjumlah RM 1 juta.
(iii) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan mengenalpasti dan melatih pelapis-pelapis yang berpotensi kearah menjadikan mereka sebagai tenaga mahir. Sejumlah RM 250,000.00 diperlukan oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang bagi menyelaras dan menyediakan Elaun Latihan (Pelatih) dan elaun pengajar. Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang mensasarkan sejumlah 500 orang pelapis akan menjadi tenaga mahir di bidang kraf menjelang Jun 2012.


10. Mengadakan bilik bacaan, rujukan dan permainan dalam dan luar untuk ahli-ahli.

Untuk mencapai objektif bagi memberikan pengetahuan, maklumat dan rujukan tentang rekacorak, warna, sejarah/teknik penghasilan dan pembangunan, kaedah pembungkusan dan pasaran berbentuk global kepada semua ahli-ahli persatuan. Persatuan akan memperuntukkan bajet untuk digunakan bagi pembelian bahan-bahan bacaan dan rujukan yang akan disimpan secara tersusun dan baik untuk kemudahan semua ahli. Persatuan juga akan membuat permohonan dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan mana-mana bangunan milik kerajaan yang tidak digunapakai dan terbiar di seluruh daerah untuk digunakan sebagai Pusat Penerangan dan Pembangunan Kraf yang akan dikendalikan oleh ahli-ahli persatuan.

Langkah tindakan :

(i) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan merujuk kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang bagi mendapatkan kerjasama untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan dan rujukan yang berkenaan dengan kraf sejumlah RM 150,000.00 diperlukan oleh persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang bagi membiayai pembelian alatan dan bahan bacaan, rujukan dan permainan untuk kegunaan ahli.
(ii) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan menyediakan kertas kerja cadangan bagi memohon untuk mentadbir urus serta menyelia bangunan @ tapak milik kerajaan untuk dimajukan sebagai Pusat Pembangunan Kraf Negeri dan Daerah.
a) Kompleks Budaya Cherating – Sebagai Pusat Pembangunan Kraf Negeri Pahang.
b) Pilihan bangunan-bangunan tidak digunapakai dan terbiar seluruh daerah – Pusat Pembangunan Kraf Daerah.

11. Berikhtiar membantu untuk mendapat produk, bahan-bahan mentah ataupun apa-apa alatan untuk keperluan ahli-ahli bagi perusahaan dan perniagaan mereka.

Masalah utama bagi para Pengusaha Kraf di negeri Pahang ini adalah kepada ketiadaan dan kekurangan bahan mentah, peralatan yang berteknologi tinggi dan juga tenaga kerja mahir dan separuh mahir. Walaupun Negeri Pahang mempunyai sumber bahan semulajadi yang lebih tinggi dari negeri-negeri lain yang lebih maju dari sudut Industri Kraf, keadaan ini masih lagi tidak dapat membantu Para Pengusaha Kraf mengatasi masalah yang dialami.


Langkah tindakan :
(i) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan mewujudkan biro yang mengikut kategori kraf di kalangan Ahli Jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti keperluan bahan mentah dan alatan mesin yang menjadi masalah kemajuan kraf di Negeri Pahang.
(ii) Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan mewujudkan satu tabung yang dinamakan `Tabung Pembangunan Kraf Negeri Pahang’ bagi membiayai keperluan untuk mendapatkan stok bahan mentah dan alatan mesin yang terkini di dalam dan luar Negara.
Bagi mencapai pelan induk yang digariskan ini, Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang memohon bantuan dan kerjasama dari Kerajaan Negeri dan juga kepada semua Jabatan dan Badan Berkanun Negeri dan Persekutuan agar dapat bersama-sama membantu menyediakan peruntukan bagi membiayai segala rancangan projek yang disusun oleh Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang ini.

Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang akan melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh bagi bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Pahang di dalam bagi memartabatkan Industri Kraf di Negeri Pahang. Kerjasama yang padu juga dipohon dari para semua Pemimpin Masyarakat, Ahli-Ahli Swasta dan seluruh rakyat negeri Pahang agar membantu, menyokong dan menyumbang kea rah menjadikan Industri Kraf Negeri Pahang maju membangun menyaingi negeri-negeri lain di Malaysia.
Persatuan Pengusaha Kraf Negeri Pahang juga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Pahang agar mewujudkan satu jawatankuasa iaitu “ JAWATANKUASA TINDAKAN PEMBANGUNAN KRAF NEGERI PAHANG” yang berperanan untuk menyemak, menyelidik, mengkaji dan memantau setiap keperluan bagi meningkatkan lagi pembangunan Industri Kraf di Negeri Pahang ini.

MAJLIS PELANCARAN PENGKRAF PAHANG DI RUMAH PENGKRAF PAHANG

MAJLIS PELANCARAN PENGKRAF PAHANG DI RUMAH PENGKRAF PAHANG
YB Dato' Shafik Fauzan, Pengarah Kraftangan Pahang, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pahang dan Wakil MARA, SME Bank dan TEKUN.

Majlis sidang akhbar

PROGRAM AMAL JUALAN PRODUK KRAF DI MS GARDEN HOTEL KUANTAN

PROGRAM AMAL JUALAN PRODUK KRAF DI MS GARDEN HOTEL KUANTAN
Pengkraf Pahang telah bekerjasama dengan MS Garden Hotel Kuantan menjayakan Program Amal yang disertai oleh 15 pengusaha kraf sekitar Kuantan, Pekan dan Jerantut. YB Dato Shahaniza binti Shamsuddin selaku Penaung Program telah merasmikan Program ini yang berlangsung dari 20hb. Disember 2009 hingga 3hb. Januari 2010.

Penyerahan Pelan Induk Pengkraf kepada YB Dato' dan para wartawan



PROGRAM AMAL JUALAN PRODUK KRAF DI MS GARDEN HOTEL KUANTAN

PROGRAM AMAL JUALAN PRODUK KRAF DI MS GARDEN HOTEL KUANTAN
Y.A.B. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Adnan bin Yaakob, menyokong PENGKRAF PAHANG dan sempat membeli barangan kraf.


JEMPUTAN PERBINCANGAN BAGI MEMBANGUNKAN INDUSTRI KRAF DI NEGERI PAHANG OLEH ECER

JEMPUTAN PERBINCANGAN BAGI MEMBANGUNKAN INDUSTRI KRAF DI NEGERI PAHANG OLEH ECER
Sesi perbincangan yang dihadhiri oleh wakil Pengkraf Pahang, Pelancongan Pahang, Kraftangan Pahang, Persatuan Pemandu Pelancong Pahang, Perunding dari ECER dan wakil ECER Pahang dan Kuala Lumpur. Perbincangan adalah bagi merangka strategi bagi membangunkan industri kraf di Seluruh Negeri Pahang.